Sunday 29 April 2012

Bahaya mulut celupar


Bahaya Mulut Celupar

Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 83, “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah solat serta berilah zakat”

Menurut Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar, ayat ini merupakan perjanjian antara tuhan dan Bani Israel di dalam kitab Taurat. Perjanjian ini kemudiannya diulang semula di dalam Al-Quran kepada umat Islam hari ini. Ayat ini mengandungi perintah agar manusia menjaga lidah dengan berkata perkara yang baik-baik sahaja. Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Tidak ada istilah “dia ini mulut sahaja yang jahat, tetapi orangnya baik” di dalam Islam. Menurut sebuah riwayat, seorang sahabat telah datang kepada Rasulullah dan berkata, “Ada seorang wanita terkenal dengan banyak melakukan solat, berpuasa dan bersedekah, tetapi dia sering mengganggu jirannya dengan lidah.” Rasulullah menjawab dengan ringkas, “Dia ahli neraka.” Wanita tersebut seorang ahli ibadat yang rajin. Kerana beliau sering menyakiti tetangganya dengan lidah, destinasi beliau adalah neraka.

Di dunia, mulut yang celupar akan membuatkan kita hilang kawan. Orang akan menjauhi kita tanpa kita menyedari sebabnya.

No comments:

Post a Comment