Monday 30 April 2012

Perasaan dengki


Perasaan Iri Hati atau Dengki

Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari dengan satu sifat mazmumah.Rasa iri hati, dengki dengan kesenangan orang lain, kecantikan wanita lain, juga kelebihan orang lain. Sebagai seorang Muslim janganlah kita minta dihadirkan perasaan begini. Iri hati dengan kejayaan orang lain. Iri hati dengan pasangan orang lain yang dilihat lebih sempurna. Iri hati dengan kecantikan orang lain. Iri hati dengan kekayaan orang lain. Iri hati dengan kesenangan orang lain.

Sebenarnya, iri hati ini datang atau timbul kerana kurangnya rasa syukur dengan apa yang telah Allah kurniakan pada kita. Kita buta dan alpa dengan segala kurniaan yang Allah s.w.t. telah hadiahkan pada diri kita. Perlukah kita bandingkan dengan kelebihan orang lain apa yang Allah telah berikan pada mereka? Sedangkan Allah s.w.t. lebih arif tentang apa yang terbaik untuk diri kita. Siapalah kita untuk mempertikaikan semua itu?

Allah berfirman, terjemahannya:
“Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan ni’mat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya?”

Apabila hasad dengki bersarang dalam dada kita, maka kita akan menterjemahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan perbuatan keji itu, seseorang yang mempunyai sifat dengki mengharapkan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya akan hilang atau turut dibenci oleh orang lain.

Sifat dengki menyebabkan seseorang itu terpinggir daripada memperolehi syafaat pada hari kiamat. Perkara ini terkandung dalam sebuah hadis Rasulullah yang bersumber daripada Abdullah bin Basyar, di mana Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:

“Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan aku pun tidak daripada golongannya.”
(Al-Hadis).

No comments:

Post a Comment